jump to navigation

Puisi: Cerita Terpanggil-panggil, Penglipur Semakin Melara October 5, 2009

Posted by ariffmohamad in Uncategorized.
add a comment

Bumbung rumahnya basah
basah pengertian yang belum sudah
sudah mimpi apatah lagi nyata
nyata hidup lara si penglipur.

Dia ingin menggembirakan dengan cerita
cerita yang terpanggil-panggil sentiasa
sentiasa ingin dikhabarkan  seluruh desa
desa  penuh ketidaktahuan yang  aneh
aneh yang mengelirukan setiap tamu
tamu yang datang seketika kemudian pulang
pulang yang janjinya tidak akan datang
datang yang lain pun begitu dalam hati
hati yang telah dibekukan oleh keliru
keliru yang ghaib tidak dilihat pada mata
mata yang bijaksana dapat merasa wujudnya.

Seluruh desa bergelap dengan kemiskinan
kemiskinan serba-serbi harta, jiwa dan akal
akal yang disongsangkan hati yang tidak peduli
peduli penglipur ada namun tiada upaya
upaya menyampaikan cerita terpanggil-panggil
panggil untuk dilangsaikan segera
segera sebelum matanya tertutup
tertutup oleh sejarah yang sesekali kejam
kejam kerana dia miskin dan gagal
gagal difahami  pengajarannya  oleh seluruh desa.

Seluruh desa tersedar setelah terhantuk
terhantuk selamatkan hati daripada mati
mati dek jahilnya tentang kitab dan peribadi
peribadi yang kaku dengan kedegilan yang  tegar
tegar kerana tidak menyedari adanya permata
permata di desa bernama penglipur bijaksana
bijaksana namun semakin melara.

ARIFF MOHAMAD
Kuala Lumpur-Tanjung Malim

Mingguan Malaysia 4 Oktober 2009

Cerpen: Manusksrip Empayar di Dalam Laci July 7, 2009

Posted by ariffmohamad in Uncategorized.
add a comment

Oleh ARIFF MOHAMAD

KEGELAPAN melingkari sekelilingku. Aku menempuhinya dalam tempoh bergelandangan. Aku cari diriku dalam lapisan-lapisan kitab yang kugali, dalam lembar-lembar suci yang kukaji. Aku temui mutiara yang begitu berharga. Aku yakin mendepani hari-hari mendatang dengan satu tekad yang disamaertikan dengan perjuangan. Perjuangan menegakkan yang benar dan perjuangan membetulkan kesilapan. Kesilapan pada diriku, dan kesilapan yang telah berlaku pada manusia-manusia di sekelilingku. Aku akan khabarkan kebenaran ini seupayanya, walau payah, dan sungguh, aku cuba walaupun akhirnya aku dituduh pemimpi.

Aku baru saja menyandang jawatan di sebuah syarikat penerbitan. Aku terima jawatan ini kerana kelayakan kertas pengajianku di universiti hanya layak meletakkan aku di sini. Aku tidak mampu lagi untuk ke tahap tertinggi sebagai bendahara, ataupun wazir. Namun aku bersedia untuk menjadi laksamana pada bila-bila masa. Namun inilah yang aku mampu, sebagai seorang tukang tulis, yang dinamakan editor.

Tugas pertama yang diarahkan kepadaku adalah mengedit kembali beberapa naskah yang tergendala atas beberapa sebab yang aku tidak pasti. Berbelas-belas manuskrip di mejaku. Dan ada lagi di dalam laci di belakang tempat dudukku.

Syarikat tempatku bekerja ini adalah sebuah badan di bawah organisasi pemerintah. Syarikat ini berperanan untuk menerbitkan karya-karya berbentuk akademik dan fiksyen, dalam bahasa rasmi negaraku. Syarikat ini dikehendaki menerbitkan naskah-naskah yang tidak sempat diterbitkan oleh sebuah badan yang punya tugas sebegini sebelum ini. Namun syarikat itu telah diubah peranannya lantaran satu pembubaran sistem politik secara besar-besaran. Nasib baik juga, tanggungjawab ini mendapat perhatian pemerintah, maka syarikat ini ditubuhkan.

Pejabatku betul-betul terletak di tengah kota raya. Bilik yang kedap dan kukuh ini mengenyahkan bunyi bising kenderaan berderum-deram di luar sana. Benar, aku hanya ditemani kesepian yang begitu kontras denganku pada period gelandangan yang baru saja aku tinggalkan.

Secara fizikal aku telah berubah. Pakaianku lebih kemas seperti birokrat. Tugasku hanya memerlukan sebatang pen, sebuah komputer riba, mesin pencetak dan tentulah kertas berkotak-kotak. Dan satu lagi yang aku fikirkan, yang sangat penting adalah ketajaman akal dan kesungguhan. Yang dua itulah yang berat, namun aku bersedia. Bersedia amat.

Aku membuka laci. Laci tingkat teratas ada hampir sepuluh manuskrip yang belum diedit. Kesemuanya karya ilmiah tentang sejarah, kenegaraan dan sosiopolitik. Ada antaranya adalah tulisan tokoh-tokoh sejarawan, agamawan dan budayawan. Juga pakar-pakar dalam bidang pendidikan, perubatan, undang-undang dan kejiwaan.

Kubuka laci tingkat kedua, kukira, ada lima manuskrip berbentuk kertas-kertas kerja seminar dan persidangan tentang pembinaan jati diri bangsa dan nasionalisme. Kubuka laci tingkat tiga, tingkat paling bawah. Kudapati hanya ada sebuah manuskrip. Aku tertarik dengan manuskrip yang satu ini. Tidak begitu tebal tapi tersimpan rapi dalam fail plastik setinggi lebih kurang dua inci.

Kubaca judulnya, Empayar. Manuskrip berbentuk sebuah karya kreatif. Naratif panjang. Novel dalam pengertian yang mudah difahami. Uh, sudah lama juga aku tidak membaca novel. Kali terakhir aku membaca novel karya Paulo Coelho bertajuk The Alchemist. Novel itu hadiah daripada Fatimah pada awal perkenalan kami dahulu. Dia menghadiahkan novel itu tanda ingatan demi membalas budiku menjumpai telefon bimbitnya di bawah bangku stesen LRT. Dan kebetulan pula, nama salah satu watak dalam novel itu sama dengan namanya, Fatima. Aku pun ingat-ingat lupa dengan cerita dalam novel itu. Yang dapat kuingat kisahnya tentang anak gembala yang berkelana mengikut suara hatinya untuk mengejar mimpi dan mencari makna ketenangan jiwa, cinta dan kegigihan. Walaupun aku hampir melupakan cerita dalam novel itu, aku sama sekali tidak melupakan Fatimah.

Aku begitu tertarik dengan manuskrip yang baru kutemui dalam laci berjudul Empayar ini. Judulnya terlalu besar bagiku namun saiznya agak nipis. Siapa penulisnya? Aku tidak menemui satupun nama dalam manuskrip itu. Mungkin ada surat iringan sebagai bukti penyerahan manuskrip namun tidak pula aku temui sebarang surat rasmi, apatah lagi catatan. Aku pun tidak tahu bilakah manuskrip ini ditulis namun melihat keadaan kertas, sudah agak kusam, mungkin kerana sudah lama atau sudah banyak kali diselak orang lain sebelum ini. Aku mengusap judulnya yang dicetak berwarna kuning emas. Aku menuju ke meja bersama-sama manuskrip yang hanya bertebuk atas dan bertali hijau yang mengikatnya pada hujung sebelah kanan. Aku duduk lalu terus membaca bermula dari halaman pertama.

Ini adalah kisah perjalanan seorang puteri yang muncul dari samudera bernama Seri yang ingin menyelamatkan dunia setelah mewujudkan sebuah empayar.

Itu saja yang tertera pada halaman pertama. Aku benar-benar tertarik. Namun tidak berpuas hati selagi tidak mengetahui langgam cerita dan kesudahannya. Dorongan untuk terus membaca mengasak-asak sambil tertanya-tanya siapa penulisnya.

Pada halaman kedua, dikepalai dengan taipan Bab Satu:

Debur samudera seperti memberi salam kepada daratan. Bumi semenanjung dingin sejak subuh. Hujan rintik menyegarkan daun-daun pepohon di pantai. Kilat diikuti guruh di langit. Aulia, anak nelayan, tiba-tiba terpanggil untuk menikmati keindahan samudera walau dalam aneh dan patut akal dia tidak seharusnya keluar dari rumah, apatah lagi senja-senja begini. Aulia terpandang samudera berombak-ombak yang agak berlainan. Itu bukan pukulan ombak, fikirnya. Itu pusaran samudera. Aneh. Adakah itu petanda bencana akan melanda? Adakah ombak besar akan datang? Apakah naga misteri yang didongeng-dongengkan oleh penglipur lara akan muncul pada senja itu. Aulia mendekati pantai. Pusaran semakin deras dilihatnya.

Aku tersentak sendiri. Aku merasakan aku terus membaca namun dalam waktu yang sama aku berasa seperti di tempat yang lain. Aku merasakan akulah Aulia, seorang anak nelayan yang tipikal daif namun punya kebijaksanaan luar biasa dengan tampang seorang putera raja. Apa yang aku lihat seperti benar-benar di hadapan mataku. Ini bukan mimpi. Bukan mimpi tapi bukan juga realiti kerana pada tanganku sebuah manuskrip berjudul Empayar. Aku sedar aku berada di bilik kerjaku tapi bagaimana aku merasakan akulah Aulia yang berhadapan dengan laut dalam rintik hujan, dalam remang senja?

Seorang puteri muncul. Cantik bukan kepalang. Berbaju kebaya labuh songket kuning, berhias permata, dan bertudung kepala seperti yang sering aku lihat di kedai Jakel. Aku cemas. Gemuruh hati.

“Kau siapa?”

“Assalamualaikum,” Puteri memberi salam.

Aku menjawab dalam gementar. Inikah puteri bunian seperti dalam filem Sumpah Orang Minyak? Bukan. Bukan Puteri Bunian. Bukan juga Puteri Gunung Ledang.

“Nama patik Seri” ujar puteri penuh sopan.

Uh, nama seperti watak dalam manuskrip ini. Kenapa kau muncul di hadapanku. Bukankah kau cuma watak dalam novel yang sedang aku baca ini? Kenapa kau muncul di hadapanku, di pejabat aku ini. Jangan buat kacau Puteri Seri, aku baru menyandang jawatan ini setelah setahun aku menjadi penganggur.

“Patik ingin mengkhabarkan sesuatu,” ujar Puteri Seri.

Aku gelabah bukan kepalang. Dalam teks tertulis: Puteri Seri memunculkan diri dari pusaran samudera. Datangnya bersendiri. Seri bukan puteri kayangan, tapi puteri dari samudera. Bukan puteri duyung, namun telah berumah berabad lamanya bernegara di samudera. Puteri Seri merupakan satu-satunya Puteri Raja dari dunia dasar laut yang diamanahkan untuk menyampaikan pesan kepada seseorang untuk membina empayar kerajaan yang kukuh di bumi. Puteri Seri punya salasilah rapat dengan Raja Suran, pencipta kapal selam pertama di dunia. Puteri Seri memberi salam. Aulia menjawab. Puteri bergerak perlahan menuju ke daratan.

Aku cuba menanam yakin dalam diri yang aku kini berada dalam kenyataan.

“Apa yang mahu disampaikan wahai Puteri Seri?” Aku bertanya dalam gagap, diterpa keanehan yang teramat.

“Patik mahu menyampaikan pesan. Selebihnya semua ada dalam warkah itu.” Puteri mengggunakan jari mulus runcingnya menuding pada manuskrip Empayar yang bergetar kupegang.

Aneh. Aneh. Aneh!

“Putera Aulia, tidak ada yang aneh dalam hidup ini.”

“Hamba bukan Putera Aulia, nama hamba…” Aku ingin memberitahu namaku yang sebenarnya. Aku juga ingin memberitahu tugasku sekaligus cita-citaku. Puteri Seri pantas memotong dialog yang sedang aku fikirkan.

“O-o. Tuan hamba menafikan nama tuan hamba. Tuan hamba ialah Aulia, putera hati patik, kekasih patik yang terpisah dari laut sejak sekian lama. Bukankah tuan hamba telah berjanji untuk muncul di alam nyata bumi ini untuk membentuk empayar dan menakluki dunia yang serba kacau ini?”

Aku terduduk. Aku kewalahan. Kata-kata Puteri Seri bahawa aku kekasihnya yang terpisah membuatkan aku bertambah berdebar-debar. Menganggapku sebagai putera bernama Aulia juga amat berat untuk aku terima. Menyatakan manuskrip ini sebagai warkah juga menambah keanehan yang menyerabutkan.

Dalam manuskrip terus bercerita:

Puteri Seri membawa Aulia ke sebuah gua. Sekilas sahaja pergerakan mereka. Aulia dalam sedar dalam tidak. Puteri Seri mengeluarkan sebilah keris yang tersisip di pinggangnya lalu dihulurkan kepada Aulia.

Dalam nyata yang bukan nyata sepenuhnya ini, aku renung legat-legat wajah Puteri Seri.

“Untuk apa keris ini? Sekarang orang guna pistol, guna mesingan, tak main keris-keris lagi.” Kataku.

“Tuan hamba, keris ini sebagai simbol.”

Aku semakin berani berdialog dengan Puteri Seri. Ya, aku terasa aku berada di sebuah gua. “Bukankah kitab suci Al-Quran berguna melebihi sebagai simbol? Aku teringat zaman gelapku. Aku teringat pencerahanku setelah mendalami Al-Quran. “Puteri Seri, izinkanlah hamba membaca manuskrip ini hingga selesai.”

“Bukan sekarang. Nanti, selepas patik pulang dan wasiatkan semuanya pada tuan hamba.”

“Wasiat?” Aku meletakkan manuskrip di meja. Ah, pelik, dalam gua pun ada meja. Aku menyambut keris daripada Puteri Seri. Ah, kenapa tanganku begitu ringan untuk menyambutnya?

“Wahai Auliaku, jika ditakdirkan kita tiada jodoh, cukuplah pertemuan sekali ini. Patik terlalu sayangkan negara di dasar samudera yang sudah cukup kukuh empayarnya, yang sudah cukup baik sistem dan peraturannya, maka pertemuan ini hanyalah pertemuan untuk menyelesaikan rindu dendam patik dan menyampaikan amanah untuk Putera Auliaku.” Puteri sebak.

Senyap sunyi menyeluruhi diri. Bunyi ombak laut hilang. Tenggelam dalam ketidaktentuan. Asyik dalam keanehan.

Lantas Puteri Seri menyambung, “Aulia, warkah yang tuan hamba pegang itu adalah sebuah hikayat cinta. Cinta bukan sebarang cinta. Cinta manusia yang berkurang melainkan cinta kepada Tuhan melimpahi segala-galanya. Cinta yang membawa kesejahteraan. Cinta kebahagiaan dalam dunia sementara menanti bahagianya syurga yang kekal selama-lama. Cinta bernegara, bersiasah dan berperaturan yang sebaik-baiknya. Banyak nasihat dan pesanan, banyak panduan dan pedoman, banyak petua dan jalan.”

Aku terketar-ketar menyelak satu demi satu halaman manuskrip. Aku terhenti pada satu halaman. Kulihat teks yang tercatat:

Antara kandungan surat Rasul Allah Muhammad kepada Raja Habsyah;

‘Sekarang daku mengajakmu untuk menerima ketaatan, simpati dan cinta Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagiNya. Ikutilah daku dan berimanlah kepada risalah Allah yang daku telah bawa. Daku mengajakmu dan tenteramu kepada Allah yang layak untuk mendapat segala penghormatan dan kemuliaan. Daku telah melakukan tugasku menyampaikan risalah-Nya dan nasihat. Terimalah ia semoga keselamatan ke atas mereka yang mengikuti petunjuk.’ (Tabaqat Ibnu Saad, Jilid 3 ms 15)

Aku pantas menyelak-nyelak halaman teks hingga pada halaman terakhir:

Seperti yang dicita-citakan, sebuah empayar kukuh berdiri bukan semata-mata atas dasar peperangan dan pemaksaan. Empayar berdiri atas keikhlasan pemimpin dan pertautan hati yang akrab dengan rakyat. Agama merupakan landas utama dalam organisasi dan akhlak dalam empayar yang kukuh. Putera Aulia yang membawanya. Dan dia kemudiannya menjadi ketua empayar di bumi.

Aku merenung Puteri Seri yang berwajah bersih.

“Patik mahu pulang. Jumpa lagi di alam mimpi, atau di mana-mana yang entah, kita tidak pasti.”

Ingin kujerit ‘Tunggu!’ namun Puteri Seri tetap mohon diri. Puteri Seri hilang dari pandangan dibawa ombak laut.

Aku memegang keris. Bulan di langit seolah-olah jatuh ke ribaku. Aku terbaring. Manuskrip terbuka di atas dadaku yang masih berdegup. Aku berada antara ketidakpercayaan seperti mimpi dan kenyataan yang berat. Aku teringat cita-citaku. Aku terfikir benarkah namaku Aulia. Aku terbayang-bayang wajah Puteri Seri dan berselangan pula dengan wajah Fatimah. Aku terlupa namaku sendiri seketika hingga aku tersentak beribu-ribu manusia datang menghampiriku. Mereka memanggilku dengan namaku yang sebenar. Dan aku memeluk erat manuskrip Empayar dengan sebelah tanganku.

Aku terdengar azan. Aku terlihat jam di dinding pejabat. Manuskrip Empayar kuletakkan. Aku berazam akan mengedit manuskrip Empayar sebaik-baiknya. Aku akan mencari siapakah Puteri Seri yang sebenarnya. Adakah dia penulis manuskrip ini? Aku juga mahu mengenali Aulia, anak nelayan yang dicintai Puteri Seri. Aku mengambil wuduk. Aku mencapai Al-Quran. Aku benar-benar tenang. Aku bangun. Berdiri dan terasa ingin berlari menyatakan cerita kepada dunia.

Mingguan Malaysia 5 Julai 2009

Karya Ekspresi ke Sini June 17, 2009

Posted by ariffmohamad in Uncategorized.
add a comment

Blog kedua saya, karyaekspresi.blogspot.com telah saya tutup. Kini beralih ke sini. Semoga dapat dimanfaatkan.

Hello world! June 17, 2009

Posted by ariffmohamad in Uncategorized.
2 comments

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!